Tuesday, September 14, 2010

Diabetes semasa hamil

Apakah Diabetes Melitus?

Diabetes Mellitus adalah sejenis gangguan atau ketidakaturan yang menghalang badan dari menggunakan makanan dengan berkesan. Karbohidrat ringkas (gula di dalam minuman ringan, kek, atau jem) dan karbohidrat kompleks (kanji di dalam nasi dan mee) akan dihadamkan di dalam badan untuk membentuk glukosa. Glukosa dalam aliran darah kemudiannya akan dicernakan di dalam pelbagai tisu badan dan proses ini dikawalatur oleh insulin. Insulin merupakan hormon yang dihasilkan oleh pankreas iaitu organ kecil yang terletak di belakang perut. Tanpa insulin, glukosa tidak dapat memasuki sel badan di mana ia digunakan sebagai sumber tenaga, sebaliknya glukosa akan terkumpul di dalam darah dengan berlebihan dan menyebabkan diabetes melitus.

Apakah yang dimaksudkan Diabetes Mellitus semasa kehamilan?

Diabetes Mellitus (GDM) semasa kehamilan merupakan keadaan di mana kandungan gula dalam darah tinggi semasa hamil dan ia dialami oleh sesetengah wanita.

Apakah bezanya antara diabetes semasa kehamilan dengan diabetes yang lain?

Di luar kehamilan, diabetes dikelaskan sama ada jenis 1 (Diabetes Mellitus bersandarkan insulin, IDDM) atau jenis 2 (diabetes melitus tidak bersandarkan insulin, NIDDM). Sebanyak 10% pesakit Diabetes menghidap

Diabetes jenis IDDM. Bagi kes IDDM, insulin yang dihasilkan oleh sel b-islet di dalam pankreas adalah tidak mencukupi atau tiada langsung. Manakala bagi NIDDM, reseptor insulin yang tidak sensitif dianggap menjadi penyebab utama masalah ini dan pesakit NIDDM biasanya gemuk. Semasa kehamilan, kesan insulin akan terganggu sedikit oleh berbagai-bagai hormon yang dihasilkan oleh uri. Ini dikenali sebagai rintangan insulin. Beberapa hormon seperti estrogen, kortisol dan "human placental lactogen" akan menyekat pengeluaran insulin. Ia biasanya bermula pada pertengahan kehamilan (20-24 minggu). Semakin uri membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi. Bagi kebanyakan wanita, uri dapat menghasilkan insulin tambahan untuk mengatasi rintangan insulin. Jika ia gagal maka GDM akan berlaku. Biasanya pesakit akan pulih selepas melahirkan anak. Walau bagaimanapun pesakit menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghidap Diabetes kemudian nanti.

Adakah GDM kerap berlaku?

Ia berlaku sebanyak 3-12% daripada semua kehamilan.

Siapakah yang berisiko mengalami GDM?

Sesiapa sahaja boleh mengalami GDM semasa kehamilan. Pesakit yang sememangnya menghidapi diabetes melitus berisiko tinggi menghidap GDM. Namun, wanita boleh menghidap GDM tanpa sebarang penyakit diabetes sebelumnya. Faktor-faktor yang berkaitan dengan kemungkinan berlakunya GDM termasuklah:

- Sejarah keluarga menghidapi diabetes.
- Wanita berumur (>35 tahun).
- Wanita gemuk dengan indeks jisim badan >30.
-
Mengalami masalah yang berkaitan semasa hamil seperti hipertensi, penghasilan cecair amnion berlebihan (polihidramnios), keguguran.

-
Pernah melahirkan bayi yang bersaiz besar sebelumnya, lahir mati, atau bayi yang dilahirkan cacat.

-
Kandidiasis faraj yang berulang-ulang dan jangkitan kulat pada kulit.


Bagaimana penyakit ini dikesan?

Lazimnya wanita tidak menunjukkan sebarang tanda amaran walaupun kemungkinan sesetengah wanita merasa teramat dahaga, kerap buang air kecil dan kelesuan. Ramai wanita yang menghidap GDM tidak menunjukkan sebarang faktor risiko. Sesetengah pusat rawatan menyediakan ujian saringan antara 24-28 minggu kehamilan. Namun dicadangkan anda menjalani ujian saringan glukosa (ujian kerintangan glukosa oral yang diubahsuai, MOGTT) jika terdapat faktor risiko.

Apakah ujian Tolerans Glukosa secara oral?

Ujian akan dijalankan selepas pesakit berpuasa semalaman dari pukul 10.00 malam sebelumnya. Sampel darah untuk menentukan paras gula dalam darah akan diambil pada awal pagi diikuti meminum glukosa (75 gm glukosa di larutkan dalam 250ml air). Ujian ini selesai apabila pengukuran paras gula dalam darah diambil 2 jam berikutnya

Intepretasi hasil ujian

Aras glukosa dalam plasma vena (mmol/l)
Puasa 2 jam selepas glukosa diambil
_Normal <6 <8
_Tolerans glukosa yang terganggu 6-8 8-11
_Diabetes >8 >11

Bagaimana diabetes memberi kesan ke atas kehamilan?

Ini bergantung pada tahap penjagaan kesihatan diri anda sendiri. Jika paras gula di dalam darah dapat dikawal dengan baik sepanjang kehamilan, komplikasi untuk mengalami masalah ini dapat dikawal dan dicegah. Jika paras gula di dalam darah berlebihan, maka ia akan berpindah ke bayi menerusi uri.

Janin akan bertindak balas dengan menukarkan glukosa yang berlebihan kepada lemak dan bayi ini akan menjadi terlalu besar (makrosomia). Bayi yang terlalu besar akan menimbulkan kesukaran ketika pelahiran dan kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean. Sebagai tambahan kepada makrosomia, GDM akan meningkatkan risiko hipoglisemia (paras gula yang rendah di dalam darah) semasa bayi baru dilahirkan.

Paras gula di dalam darah bayi akan diawasi dengan teliti semasa penjagaan bayi dan adalah perlu memberi glukosa secara intravena kepada bayi jika paras gula terlalu rendah. Bayi juga mudah terdedah kepada Jaundis, ketidakimbangan bahan kimia di dalam darah seperti paras serum kalsium dan magnesium yang rendah, masalah pernafasan mahu pun kecacatan bayi. Adalah dipercayai bahawa bayi yang bersaiz besar cenderung menjadi obes di masa akan datang. Semasa dewasa, mereka juga akan cenderung untuk menghidapi diabetes jenis 2 (diabetes yang tidak bersandarkan insulin).

Pemeriksaan ultrasound semasa antenatal adalah berguna untuk mengawasi saiz janin dan mengesan polihidramnios serta keabnormalan janin. Seperti pesakit diabetes yang lain, ibu yang hamil dengan GDM adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, Diabetik Ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit. Mereka juga mudah terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.

Adakah GDM menjejaskan proses pelahiran dan kelahiran?

GDM itu sendiri bukanlah merupakan penunjuk bagi pembedahan Caesarean. Namun jika bayi terlalu besar untuk menjalani kelahiran normal melalui faraj, atau jika bayi dalam tidak dapat dilahirkan secara normal, maka kelahiran secara Caesarean sangat diperlukan. Jika bayi sangat besar, ia kemungkinan akan mengalami trauma semasa kelahiran, terutamanya kecederaan tulang dan saraf di sekitar bahu.

Jika terapi insulin diperlukan semasa kehamilan, anda akan diberi suntikan insulin pada waktu pagi semasa pelahiran bermula atau diberi melalui intravena sepanjang proses pelahiran. Selepas bayi dilahirkan paras gula di dalam darah biasanya akan kembali ke paras normal dan insulin tidak diperlukan lagi.

Bagaimana rawatan terhadap GDM?

Langkah pertama ialah mengawal paras glukosa di dalam darah dengan pengubahsuaian diet. Senaman sederhana secara tekal juga berguna untuk memperbaiki tolerans glukosa. Jika pendekatan melalui pemakanan tidak berkesan, terapi insulin diperlukan. Paras glukosa perlu diawasi selalu jika terapi insulin telah dimulakan. Jika anda memang menghidap diabetes dan bercadang untuk hamil, anda perlu berusaha untuk mengawal diabetes pada tahap optima beberapa bulan sebelum mengandung kerana paras glukosa yang tinggi semasa trimester pertama akan meningkatkan risiko kelahiran bayi cacat.

Mengapa diet yang khusus disyorkan?

Diet seimbang yang berkhasiat amat perlu untuk mengekalkan kesihatan ibu yang sihat dan kehamilan yang berjaya. Bagi wanita yang mengalami GDM, diet yang sempurna dapat memastikan paras gula dalam darah adalah normal dan secara amnya ia adalah langkah pertama yang dilakukan sebelum menggunakan terapi insulin. Tumpukan sepenuh perhatian terhadap pengambilan kalori setiap hari dan pemilihan makanan yang betul untuk mengekalkan paras gula di dalam darah. Keperluan kalori setiap hari meningkat sebanyak 300 kalori semasa trimester kedua dan ketiga kehamilan. Jika pengambilan kalori semasa tidak hamil adalah 1800 kcal sehari dan berat badan kekal, pengambilan kalori sebanyak 2100 kalori setiap hari adalah biasa dari tempoh 14 minggu kehamilan hingga proses kelahiran.

Berikut adalah pola pemakanan yang baik untuk mengekalkan paras gula yang normal di dalam darah:

-
Elakkan gula dan makanan yang tinggi kandungan gulanya (kek, aiskrim,

-
Mengambil karbohidrat kompleks (bijirin, kekacang, peas, sayur-sayuran, dan makanan berkanji).

-
Mengambil makanan yang kaya serat (buah-buahan, sayur-sayuran, legum, roti gandum tulen, dan lain-lain).

-
Memastikan diet yang rendah lemak, terutama lemak tepu (mentega, daging berlemak, krim dan lain-lain). Pilihlah hirisan nipis daging dan ayam tanpa kulit. Elakkan makanan yang bergoreng.


Perlukah melakukan senaman?

Program senaman setiap hari dapat membantu anda merasa selesa,
mengurangkan ketegangan mahu pun mengelakkan sakit belakang, mengekalkan tona otot, kekuatan dan ketahanan. Bagi wanita yang menghidapi GDM, ia sangat penting. Selalu bersenam dapat meningkatkan keupayaan atau potensi insulin di dalam badan. Ini dapat memastikan paras normal gula di dalam darah disamping mengurangkan penggunaan insulin. Senaman yang sederhana juga dapat membantu mengurangkan selera makan dan menurunkan berat badan ke paras normal.

Ia sangat penting untuk mencegah paras gula yang tinggi di dalam darah. Walau bagaimanapun, penjagaan yang khusus perlu diambil untuk mengelakkan sukan atau senaman yang mungkin menyebabkan anda jatuh, atau yang melibatkan sentakan. Aktiviti berbasikal dan berjoging sebelum hamil merupakan contoh senaman yang baik untuk diteruskan semasa kehamilan. Berjalan-jalan adalah baik untuk wanita yang sebelum ini tidak aktif dan ingin mula bersenam semasa hamil. Senaman secara tekal selama 4-5 hari setiap minggu adalah perlu untuk merendahkan paras gula dalam darah. Berhenti bersenam jika anda merasa sakit, pening, sesak nafas, pitam, debaran jantung, sakit belakang atau sakit di bahagian pelvis, atau pernah mengalami pendarahan faraj.

The American College of Obstetricians & Gynecologists (ACOG) mencadangkan meminum cecair sebelum dan selepas senaman dan jika perlu, semasa sedang bersenam untuk mengelakkan dehidrasi. Terlalu kuat bersenam mungkin menyebabkan rahim dan janin tidak mendapat bekalan darah yang cukup. ACOG mengesyorkan wanita hamil mengukur kadar degupan jantung semasa melakukan aktiviti. Kadar degupan jantung ibu yang mengandung sepatutnya tidak melebihi 140 denyutan seminit.

Apakah yang berlaku jika amalan diet dan senaman gagal mengawal paras gula dalam darah?

Jika paras gula di dalam darah cenderung untuk melebihi julat normal, anda perlu mengambil suntikan insulin. Insulin tidak boleh diberi secara oral kerana ia akan dihadamkan seperti protein di dalam makanan dan menyebabkan kesan terapeutiknya hilang. Ia diberi secara suntikan di bawah kulit dengan menggunakan jarum yang sangat halus, oleh itu anda akan merasa tidak selesa sedikit ketika suntikan diberi. Ia selalu dilakukan oleh anda sendiri dan anda akan diajar oleh doktor bagaimana untuk melakukannya. Jumlah insulin yang diperlukan untuk memastikan paras gula adalah dalam julat normal akan meningkat mengikut perkembangan kehamilan. Ini tidak bermakna GDM semakin teruk. Uri yang membesar seiring dengan berlanjutnya kehamilan akan menghasilkan paras hormon kontra-insulin yang lebih tinggi. Akhirnya anda memerlukan lebih insulin untuk mengatasi kesannya.

Adakah anda perlu mengambil insulin?

Ya. Ini kerana walaupun diet dijaga dengan baik, paras gula dalam darah sesetengah wanita masih tidak berada dalam julat yang boleh diterima. Wanita hamil yang bebas dari GDM jarang mempunyai paras glukosa dalam darah yang melebihi 6 mmol/l sebelum sarapan di waktu pagi atau 2 jam selepas bersarapan. Sasaran optima bagi pesakit GDM ialah mempunyai paras gula dalam darah yang sama dengan wanita yang tidak mengalami diabetes.

Jika paras gula ketika berpuasa melebihi 6 mmol/l atau jika 2 jam selepas makan, paras gula masih melebihi 8 mmol/l pada dua masa yang berasingan, terapi insulin amnya diperlukan. Keupayaan untuk melakukan sendiri pengawasan glukosa di dalam darah membolehkan terapi insulin dimulakan sebaik sahaja tanda awal paras gula yang tinggi dikesan. Dengan itu janin dapat dicegah dari terdedah kepada paras glukosa yang tinggi dalam darah ibu.

Bagaimana mengendalikan suntikan insulin?

Doktor atau jururawat terlatih akan mengajar anda teknik suntikan insulin apabila rawatan diperlukan. Ia merupakan suntikan yang biasanya dilakukan di bawah kulit di bahagian tisu subkutaneus. Kawasan suntikan yang biasa ialah bahagian lengan atas (kawasan deltoid) atau di bahagian anterior peha atas. Suntikan di bahagian abdomen patut dielakkan.

Penjagaan ubat-ubatan dan jarum

Insulin mesti disimpan di bahagian kering dalam peti sejuk, seperti di tempat menyimpan hasil tenusu. Jarum boleh digunakan berulang kali dengan syarat ia dibersihkan selepas digunakan dan dibuang apabila susah untuk disuntik atau apabila suntikan menyebabkan rasa sakit.

Apakah yang berlaku jika paras gula di dalam darah menjadi lebih rendah?

Paras gula yang rendah di dalam darah (hipoglisemia) merupakan komplikasi yang mungkin berlaku jika seseorang telah mengambil terapi insulin untuk GDM. Ini mungkin berlaku jika anda lambat mengambil sarapan atau bersenam lebih dari yang biasa. Ia merupakan kes kecemasan dan perlu dirawat dengan teliti. Jika terdapat gejala hipoglisemia (kekeliruan, pening, penglihatan kabur,

berpeluh, terketar-ketar, tersangat lapar) anda perlu mengambil sebarang bentuk gula dengan segera. Apabila anda menggunakan insulin, anda perlulah membawa gula atau makanan/minuman manis (kandi yang manis, minuman berglukosa) sebagai langkah berjaga-jaga. Doktor perlu diberitahu mengenai sebarang reaksi hipoglisemia yang berlaku. Ia mungkin menyebabkan pengubahsuaian terapi insulin yang anda jalani.

Apakah yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah yang berkaitan dengan GDM?

Diet pesakit yang mengalami GDM mestilah mencukupi untuk membekalkan pemakanan yang dapat memenuhi keperluan ibu dan bayi yang sedang berkembang. Pada masa yang sama diet yang diambil boleh mengekalkan paras normal glukosa di dalam darah. Ibu yang menghidapi GDM boleh diajar caracara mengukur paras glukosa di dalam darah di rumah untuk memastikan ia berada di paras yang dibenarkan. Keupayaan pesakit untuk menentukan paras gula dalam darah melalui penggunaan peralatan merupakan satu lagi kejayaan penting dalam pengurusan penyakit diabetes. Teknik ini dikenali sebagai pemantauan sendiri glukosa di dalam darah dan ia membenarkan anda memeriksa sendiri paras gula darah sama ada di rumah atau di tempat kerja tanpa melibatkan kos dan menjimatkan masa untuk berjumpa doktor.

Apakah yang dimaksudkan pemantauan sendiri glukosa di dalam darah?

Apabila anda telah didiagnos menghidap GDM, adalah penting bagi anda mengetahui paras gula di dalam darah dari sehari ke sehari. Anda juga harus mengetahui bagaimana corak pemakanan dan cara senaman mempengaruhi paras gula di dalam darah anda. Semakin lanjut kehamilan, uri akan membebaskan lebih banyak hormon yang akan bertindak ke atas insulin. Menguji paras gula di dalam darah pada waktu tertentu dalam sehari dapat mengetahui jika diet yang sempurna dan peningkatan berat badan dapat mengekalkan paras normal gula di dalam darah atau jika insulin yang lebih diperlukan untuk melindungi janin. Pemantauan sendiri glukosa di dalam darah boleh dilakukan dengan mencucuk jari untuk mendapatkan titis darah dan disukat dengan menggunakan alat khas untuk mendapat bacaannya.

Doktor boleh menasihatkan anda bagaimana untuk mendapatkan alat ini. Anda mungkin perlu menguji darah anda beberapa kali dalam sehari. Secara amnya, ia dilakukan sebelum makan. Setiap pesakit boleh mempunyai jadual sendiri untuk tujuan pengukuran

Apakah ujian-ujian lain yang perlu diketahui?
Selain daripada ujian darah, anda juga dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan air kencing untuk mengesan kehadiran keton. Keton adalah hasil sampingan dari penguraian lemak. Ia boleh dijumpai di dalam darah dan air kencing akibat insulin yang tak mencukupi atau kalori yang tidak mencukupi dalam diet anda. Walaupun tidak diketahui jumlah keton yang boleh mengancam janin, keton yang banyak akan disertai dengan asidosis, iaitu satu keadaan yang boleh mengancam janin.

Sebagai langkah keselamatan, anda perlu mengawasi kehadirannya dalam air kencing dan melaporkan sebarang keputusan yang positif kepada doktor. Untuk menguji kehadiran keton di dalam air kencing, anda boleh menggunakan jalur ujian khusus yang telah dirawat dengan bahan kimia. Ujian dapat dilakukan dengan mendedahkan sehelai jalur pakai buang pada aliran air kencing atau mencelup jalur ke dalam bekas yang mengandungi air kencing. Jalur akan berubah warna bergantung kepada jumlah keton yang hadir di dalam air kencing. Warna jalur bolehlah dibandingkan pada carta untuk menunjukkan paras keton. Penasihat kesihatan boleh menasihatkan anda masa yang sesuai untuk melakukan ujian dan berapa kerap anda perlu melakukannya.

Adakah anda perlu mempunyai jadual pemeriksaan lanjutan antenatal?

Apabila anda disahkan menghidap GDM, anda dicadangkan untuk menjalani pemeriksaan antenatal setiap 2 minggu sehingga kehamilan anda berusia 32 minggu dan selepas itu lakukan pemeriksaan setiap minggu sehinggalah melahirkan bayi. Semasa pemeriksaan, imbasan ultrasound akan dilakukan untuk mengesan sebarang keabnormalan dan komplikasi di samping mengawasi tumbesaran janin. Profil gula di dalam darah akan diperiksa sekurang-kurangnya setiap 2 minggu untuk menilai keberkesanan pengawalan diabetes anda.
copy dari : edaran selindah

Wednesday, September 1, 2010

Masalah Ketika Hamil


Keguguran
Keadaan ini berlaku apabila janin dilahirkan sebelum ia berkembang secukupnya untuk hidup di luar tubuh ibu. Tanda-tanda awal masalah ini adalah seperti pendarahan dan kekejangan. Jika didapati terdapat pendarahan daripada bahagian sulit, segeralah berjumpa doktor. Simpan tuala wanita yang anda pakai untuk memerangkap darah, darah beku dan tisu kerana doktor akan meminta untuk memeriksanya secepat yang mungkin. Imbasan ultrasound dapat membantu menentukan status kehamilan anda.

Dalam sesetengah kes, keguguran merupakan satu cara pencegahan semulajadi terhadap kelahiran janin yang tidak berdaya hidup atas berbagai sebab. Keguguran boleh disebabkan oleh masalah kesihatan yang tertentu, tetapi selalunya tiada sebab-sebab yang jelas. Sering kali keguguran seperti ini tidak dapat dielakkan. Biasanya kehamilan anda yang seterusnya tidak akan terjejas, namun anda perlu berehat seketika sebelum merancang kehamilan berikutnya sekurang-kurangnya selama 6 bulan.

Anemia
Jenis anemia yang lazim, terjadi apabila badan tidak memperolehi ferum yang mencukupi untuk membina sel darah merah tambahan yang diperlukan ketika hamil. Mengambil makanan yang kaya ferum selalunya dapat mencegah anemia jenis ini. Ini termasuklah daging merah, makanan laut, hati, kekacang, sayuran hijau dan bijirin yang diperkaya dengan ferum.

Tambahan ferum boleh diambil sewaktu hamil kerana keperluan ferum ketika ini adalah lebih tinggi daripada yang biasa terkandung dalam diet. Namun mengambil ferum tambahan akan menyebabkan najis lebih gelap dan lebih keras, oleh itu anda perlu meningkatkan pengambilan cecair dan serat di dalam diet anda. Pastikan anda menyimpan pil ferum di tempat yang selamat dan sukar dicapai oleh kanak-kanak.

Terdapat juga jenis anemia yang lebih serius dan jika dikesan ketika pemeriksaan awal di makmal, kehamilan anda akan diawasi dengan teliti. Pastikan anda memaklumkan kepada doktor jika anda atau saudara mengalami anemia atau penyakit berkaitan darah, seperti Talasemia.

Rubela
Rubela selalunya merupakan penyakit yang ringan di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Tetapi jika seseorang wanita dijangkiti sejurus sebelum atau semasa kehamilan, terutama di awal kehamilan, rubela boleh menyebabkan penyakit jantung, buta, hilang deria pendengaran dan lain-lain masalah kesihatan kepada bayi.

Elakkan sentuhan secara langsung dengan sesiapa sahaja yang menghidapi rubela atau jangkitan kuman yang lain. Jika anda atau salah seorang anggota keluarga anda telah terdedah kepada rubela, maklumkan kepada doktor dengan segera. Perkembangan bayi anda akan diawasi dengan teliti.

Walaupun terdapat vaksin untuk rubela, ia tidak boleh diberi kepada wanita hamil atau wanita yang merancang untuk hamil dalam masa 3 bulan yang terdekat ini. Ingatlah bahawa kebanyakan wanita adalah imun terhadap penyakit ini dan dengan itu bayi tidak menghadapi sebarang risiko.

Penyakit Kelamin
STIs adalah jangkitan yang berlaku semasa melakukan hubungan seks. Ia juga dikenali sebagai Penyakit Venereal atau VD. Penyakit venereal yang paling serius semasa kehamilan ialah gonorea, sifilis dan genital herpes. Rawatan segera dapat melindungi anda dan bayi. Apabila anda terdedah kepada STI atau mengesyaki telah dijangkiti STI, adalah penting anda dan suami menjalani pemeriksaan untuk mengesan penyakit tersebut dan dirawat dengan segera.

Gonorea
Gonorea selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala di kalangan wanita. Namun, ia boleh menyebabkan lelehan dari faraj atau rasa pedih ketika membuang air kecil. Jika tidak dirawat ia mungkin merebak melalui darah ke lain-lain bahagian badan. Ia boleh membahayakan bayi di dalam kandungan dan ibu semasa kehamilan. Jenis gonorea ini boleh menyebabkan demam, sakit sendi atau ruam pada kulit. Ia boleh merebak ke mata bayi semasa dilahirkan. Semua wanita perlu menjalani pemeriksaan gonorea semasa di awal kehamilan. Pengesanan dan rawatan awal gonorea dapat mencegah komplikasi terhadap ibu yang dijangkiti dan bayinya.

Sifilis
Ia merupakan jangkitan serius yang boleh menjangkiti bayi sebelum dilahirkan. Ibu-ibu akan diuji untuk jangkitan ini semasa pemeriksaan antenatal yang dikenali sebagai ujian VDRL. Di kalangan orang dewasa, jangkitan biasanya bermula sebagai lepuh kemerah-merahan di kawasan kemaluan atau di dalam faraj yang tidak menyakitkan. Ia biasanya sembuh sendiri tetapi akan diikuti ruam kulit yang lazimnya hilang sendiri tanpa atau dengan rawatan. Anda perlu memberitahu doktor mengenai sebarang bonjolan luar biasa, lepuh atau ruam di badan. Walaupun ruam dan lepuh telah hilang, kuman sifilis masih berada di dalam badan kecuali jika anda telah mendapat rawatan antibiotik. Jangkitan pada bayi selalunya dapat dicegah apabila ibu telah dirawat sepenuhnya ketika hamil.

Herpes
Jangkitan virus ini akan menyebabkan lepuh yang sangat sakit pada kemaluan dan ia semakin kerap terjadi pada masa kini. Gejala dapat diredakan dengan ubat tetapi tiada penawar untuknya. Jangkitan boleh muncul semula dengan sendiri. Jika anda dan pasangan anda mempunyai sebarang tanda jangkitan herpes, anda perlu memberitahu doktor mengenainya kerana penyakit ini boleh mempengaruhi cara penjagaan kehamilan anda.

Masalah vaginitis yang lain
1. Saya sedang hamil. Perlukah saya makan dua kali ganda daripada sebelumnya?
2. Bagaimana saya perlu makan semasa hamil?
3. Adakah semua bakal ibu memerlukan jumlah kalori yang sama?
4. Bagaimana makanan yang saya makan dibahagikan di antara keperluan saya dan anak dalam kandungan?
5. Berapakah jumlah berat badan yang perlu saya tambah semasa hamil?
6. Bagaimana saya hendak menghilangkan lebihan berat badan yang bertambah semasa hamil?

Saya sedang hamil. Perlukah saya makan dua kali ganda daripada sebelumnya?
Anda tidak perlu makan sebanyak itu kerana wanita hamil memerlukan tenaga untuk tumbesaran janin, uri, rahim dan payu dara. Tenaga juga diperlukan untuk penyimpanan lemak dan proses metabolisme untuk mengekalkan kesemua tisu baru ini. Tubuh badan anda menjadi lebih efisien semasa hamil dan berupaya menyerap lebih banyak nutrien yang anda makan. Dengan memakan 2 kali ganda daripada biasa, belum tentu anda akan mendapat bayi yang sihat, sebaliknya anda mungkin mengalami peningkatan berat badan yang berlebihan.

Bagaimana saya perlu makan semasa hamil?
Pemakanan yang baik sangat penting untuk mendapatkan bayi yang sihat. Sesuatu kehamilan memerlukan 300 kalori tambahan sehari untuk mengekalkannya pada tahap yang sihat dan secara puratanya, wanita bersaiz biasa boleh menjangkakan peningkatan berat badan sebanyak 12 -15 kg sepanjang kehamilan. Bagaimanapun, kalori tambahan ini mestilah yang berkhasiat. Wanita hamil memerlukan diet yang seimbang, lengkap dengan protein, buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin tulen, dan gula serta lemak yang sedikit.

Diet harian mestilah merangkumi:
� 6-11 sajian nasi/bijirin atau roti.
� 3-5 sajian sayur-sayuran dan buah-buahan (sekurang-kurangnya satu kaya dengan vitamin C manakala satu lagi kaya vitamin A).
� 2-4 sajian susu atau hasil tenusu.
� 3-4 sajian daging, ikan dan makanan protein yang lain termasuklah legum atau kekacang.
� 6-8 gelas air dan satu minuman ringan atau secawan kopi sehari untuk menghadkan kafein.

Elakkan memakan makanan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna, atau makanan dimasak yang mungkin telah tercemar di gerai atau restoran yang tidak bersih. Masakan sendiri adalah yang terbaik.

Diet yang diubahsuai secara khusus adalah untuk bakal ibu yang menghidap diabetes dan anemia.

Adakah semua bakal ibu memerlukan jumlah kalori yang sama?
Setiap bakal ibu perlulah merujuk kepada doktor mengenai keperluan pemakanan yang tertentu.

� Wanita yang berlebihan berat badan mungkin lebih sihat jika mengurangkan pengambilan kalorinya.
� Wanita yang kurang berat badan perlu makan lebih banyak.
� Bakal ibu dari golongan remaja yang masih membesar dan mempunyai keperluan pemakanan yang lebih tinggi dari biasa memerlukan kalori yang lebih.
� Ibu hamil kembar mempunyai keperluan pemakanan yang lebih untuk setiap bayi.
� Bakal ibu yang menghidap diabetes dan wanita yang menghidap diabtetes semasa mengandung perlu mengawasi paras gula dalam darah dengan teliti.

Bagaimana makanan yang saya makan dibahagikan di antara keperluan saya dan anak dalam kandungan?
Doktor tidak memahami sepenuhnya bagaimana pembahagian zat makanan di antara anda dan bayi dalam kandungan dilakukan. Keperluan zat makanan anak diperolehi dari diet dan nutrien yang tersimpan di dalam tulang dan tisu ibu.

Dahulu, janin yang berkembang telah dianggap sebagai 'parasit sempurna' yang mengambil semua zat makanan yang diperlukan dari ibunya tanpa mengambil kira diet ibu. Ini bermakna, jika diet ibu kekurangan zat tertentu contohnya kalsium, ia tidak mendatangkan masalah kerana janin dengan mudah dapat mengambil mineral berkenaan dari simpanan tulang dan gigi ibunya. Kini pakar percaya bahawa janin yang sedang membesar adalah paling terjejas sekiranya diet ibu kekurangan zat.

Berapakah jumlah berat badan yang perlu saya tambah semasa hamil?
Anda perlu menambah berat badan dan jangan risau apabila kelihatan bertambah besar. Sebenarnya, bagaimana berat badan anda bertambah adalah lebih penting daripada berapa banyak tambahan berat berkenaan. Penambahan berat badan semasa kehamilan mestilah berlaku secara beransur-ansur.

Berapa berat badan yang perlu ditambah semasa kehamilan bergantung kepada saiz badan, tahap aktiviti dan secekap mana anda menukarkan makanan kepada tenaga.

Jika anda kekurangan berat badan, anda perlu menambah berat badan sebanyak 12 hingga 18 kg. Jika berat badan anda biasa sahaja sebelum hamil, anda perlu menambah antara 11 dan 16 kg dan jika berat badan berlebihan, anda hanya perlu menambah antara 7 dan 11 kg. Jika anda hamil kembar, anda perlu menambah berat badan sebanyak 16 hingga 20 kg.

Ingatlah bahawa saranan peningkatan berat badan berubah-ubah mengikut masa. Oleh itu adalah penting untuk menumpukan perhatian kepada khasiat pemakanan anda berbanding pertambahan berat badan.

Bagaimana saya hendak menghilangkan lebihan berat badan yang bertambah semasa hamil?
Amalkan pemakanan yang sihat dan bersenamlah selalu semasa anda hamil dan selepas bersalin.

Kebanyakan berat badan yang terkumpul akan hilang sebaik sahaja anda melahirkan bayi. Berat bayi adalah lebih kurang 4 kg (bergantung kepada bila anda melahirkannya). Cecair amnion, uri, cecair badan tambahan dan darah di dalam badan pula menambah berat badan sebanyak 3.6 hingga 5.4 kg. Rahim dan payu dara yang semakin membesar mungkin menambah berat sebanyak 2 hingga 4 kg. Oleh itu tidak banyak baki berat badan yang tinggal untuk disingkirkan selepas bersalin.